Latihan Industri, menjejaki alam realiti...

Baru kunampak dan faham dengan jelas akan apa sebenarnya peranan sebagai pegawai sains di hospital. Sebelum ni asyik belajar teori sahaja dalam dewan kuliah, tanpa dapatku agak bagaimana suasana realiti di alam kerjaya. Inilah jurang bezanya antara sebuah realiti dan teori. Samalah juga dengan keadaan kehidupan muslim. Setiap mereka belajar mengenai kesusahan dan penderitaan yang akan dihadapi oleh para nabi dan rasul, mereka tidak akan betul-betul dapat menghayatinya tanpa merasai sendiri kesusahan dan penderitaan dalam hidup. Sesungguhnya Islam itu sendiri mengajar kita supaya tidak hanya berteori semata-mata tetapi mesti menjangkaui alam realiti. Jangan hanya belajar tetapi tidak dapat mempraktikkannya… Jangan hanya sekadar berkata-kata tetapi tidak mampu melaksanakannya… jejaki alam realiti dengan melaksanakan apa yang diketahui dan diucapkan. Barulah hidup ini akan terasa kemanisannya.. bersama kita renungkan.

Pemuda Islam = Mahasiswa Islam

Dalam kehidupan universiti, pemuda Islam yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah mahasiswa Islam. Mahasiswa adalah kelompok terpillih yang mempunyai kelebihan berbanding dengan kelompok remaja yang lain. Jadi, ciri pemuda islam yang sentiasa bersemangat untuk bekerja, keazaman yang tinggi, pemikiran yang luas dan sebagainya tentu paling ideal diletakkan di atas pundak insan bergelar mahasiswa ini. Jelaslah kepada kita, bahawa mahasiswa islam adalah pemuda islam yang seharusnya selepas ini menyediakan diri mereka kearah menjadi pemimpin Malaysia di masa hadapan. Dengan kata lain, hidup seorang mahasiswa harus diisi dengan silibus-silibus yang penting dan menjurus kearah membentuk generasi yang mampu memimpin Malaysia pada masa akan datang.

Kepimpinan Negara masa kini diisi oleh mereka yang mempunyai daya kepimpinan yang cemerlang semasa zaman kemahasiswaan mereka. Lihatlah pada tokoh seperti Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah, Datuk Seri Najib, Datuk Nik Aziz, Datuk Seri Abdul Hadi, Datuk Seri Anuar dan ramai lagi. Mereka mempunyai ciri kepimpinan yang nyata terbina dalam masa yang panjang iaitu sejak dari zaman kemahasiswaan lagi. Sekarang tiba masanya kita untuk menyiapkan diri supaya kita bersedia untuk menjadi pimpinan pada masa hadapan. Soalnya sekarang apakah persediaan-persediaan itu? … bersama kita renungkan.

Semestinya pemuda Islam...

Sebelum ini telah kunyatakan yang pemuda mesti memanfaatkan usia muda mereka dengan nilai dan tanggungjawab yang berat berserta dengan sebabn-sebabnya. Tidak cukup dengan itu, sedarlah bahawa pemuda yang dinyatakan itu semestinya adalah barisan pemuda Islam. Dewasa ini ku lihat generasi muda kita semakin jauh dengan cara hidup yang sepatutnya dimiliiki oleh pemuda Islam. Bukan hendak disalahkan sesiapa, tetapi hakikatnya, pada pandanganku, seperti yang dinyatakan sebelum ini, masyarakat dan persekitaranlah yang bersalah. Semakin banyak rancangan-rancangan hiburan diperkenalkan seolah-olah hidup ini hanya untuk berhibur bagi generasi muda. Penganjur-penganjur yang hanya mementingkan untung dan kekayaan, tanpa memikirkan soal penambahbaikan dalam moral anak muda Malaysia yang makin luntur. Aduh, apa nak jadi?!...


Islam hanya dijadikan pakaian semata-mata, buktinya ialah semasa semua orang belajar disekolah rendah ataupun menengah, sudah menjadi peraturan sekolah bahawa pelajar perempuan Islam mesti memakai tudung kepala dan semua guru disiplin menekankan supaya pelajar mengikut peraturan ini. Namun, bila tibanya alam matrikulasi atau universiti dan seumpama dengannya, tiada lagi peraturan universiti yang mewajibkan perkara yang yang sama. Ini realiti yang terjadi, seolah-olah peraturan pemakaian tudung diwujudkan bagi pelajar perempuan Islam kerana ia adalah pakaian rasmi pelajar ke sekolah, bukannya kerana tudung itu wajib dipakai bagi menutup aurat seorang perempuan Islam yang wajib ditutup setelah mencukupi syarat-syaratnya. Persoalannya di sini adalah siapa sebenarnya yang bersalah dalam hal ini?! Ibu bapa? Kawan-kawan? Saudara-mara? Guru disiplin? Guru agama? Siapa sebenarnya, pandai-pandailah kita fikir sendiri… bersambung..

Senario kini harus ditinggalkan

Aku termenung memikirkan keadaan rakan-rakan disini, entah mengapa keadaan demikian masih lagi wujud. Sudah sekian lama ia terpahat, menyebabkan orang kebanyakan tidak menyedari keberadaannya yang tiada menguntungkan malah merugikan. Mengapa? Mengapa? Mengapa? Sungguh aku tak mengerti. Aku sangat membenci akan senario itu, kerana ia seolah-olah ‘membunuh’ rakan dan teman sekelilingku. Masih kuteringat akan satu tulisan Dr Ramadhan Al-Buti dalam sebuah buku, faktor utama yang menyebabkan kerosakan remaja dalam sesebuah masyarakat adalah masyarakat itu sendiri dan lingkungan tempat remaja membesar yang langsung tidak membina malah merosakkan lagi pembentukan diri anak muda…

Mengapa disini aku tekankan kepada anak muda atau remaja atau yang lebih tepat lagi kita katakan adalah generasi muda dalam sesebuah masyarakat, dalam konteks yang lebih besar adalah Negara? Jawapannya ialah generasi muda adalah generasi yang dikurniakan dengan kesempatan keemasan yang tiada pada yang lain. Tak lain dan tak bukan usia muda seseorang anak muda adalah yang dipenuhi dengan semangat yang kuat, idea yang menggugat, cita-cita yang besar lagi tinggi serta pemikiran yang luas. Justeru nabi s.a.w sendiri telah mengingatkan generasi pemuda bahawa mereka mempunyai tanggung jawab dan nilai tersendiri melalui sabdanya;

“Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara: usia mudamua sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, harta kekayaan sebelum papa, hidupmu sebelum mati dan masa kosong sebelum sibukmu.”

Hmmh…. Aduhai diriku.. apa yang harus kubuat? Persoalan itu terus menerus menerkam benak pemikiran kerdil ini. Ketahuilah bahawa manusia secara tabiatnya, mempunyai masa terhad dalam tempoh panjang atau pendek usianya, untuk mampu memberikan sesuatu kepada yang lain. Kemudian ia akan surut dan mundur kebelakang menyahut sahutan fitrah semulajadi. Benarlah firmanNya di dalam Al-Quranul Karim yang bermaksud;

“Dan masa (kejadian dan kehancuran) itu, kami pergilirkan antara manusia” (3:140)

Dan benarlah sabda rasulullah;

“Sesungguhnya setiap amalan itu puncak kesungguhannya, dan setiap puncak kesungguhan itu ada surutnya. Maka sesiapa yang surutnya adalah pada sunnahku, maka dia telah mendapat petunjuk, dan sesiapa yang surutnya kepada yang lain, bererti telah binasalah dirinya”

Inilah rakan-rakanku, penekanan kepada generasi muda supaya mendapatkan faedah daripada usia mereka, dalam kerangka untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang lebih besar kepada diri, keluarga, masyarakat dan Negara. Masa muda ini hanya sekali, bukan untuk diisi dengan hiburan semata-mata, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana kitalah yang bakal mencorakkan bumi Malaysia tercinta ini pada suatu masa nanti…. Bersambung..