Coretan Al-Ahzab....

Assalamu'alaikum wbt..

firman Allah dalam surah al-ahzab, 11,
"disitulah diuji orang-orang mukmin dan digoncangkan (hatinya) dengan goncangan yang dahsyat."

Ayat ini menjelaskan kepada kita keadaan orang-orang mukmin yang sangat tergugat ketika peristiwa perang ahzab. Sesungguhnya kemelut yang menimpa mereka pada ketika itu amatlah dahsyat sehingga benar-benar menggoncangkan hati masing-masing sebagaimana digambarkan Allah dalam ayat di atas. Sesungguhnya tenaga seorang manusia dari dulu, kini dan selamanya tetap terbatas sebagai seorang hamba, dan Allah tidak akan mentaklifkan lebih daripada keupayaannya.

Walaupun para mukmin yakin mereka akan mendapatkan kemenangan, walaupun rasulullah telah menyampaikan berita gembira kepada mereka ketika sebelum perang berlangsung tentang kemenangan Islam di Yaman, Syam, penaklukan Kota Konstantinople dan lain-lain, namun kegawatan situasi Ahzab sememangnya mencemaskan dan menyebakkan pernafasan mereka.

Di antara cerita yang lebih menggambarkan keadaan ini adalah cerita berkaitan dengan Huzaifah. Rasulullah s.a.w memang menyedari keadaan sahabat-sahabatnya kerana baginda melihat mereka dari dalam jiwa mereka sendiri. Oleh itu, baginda bersabda, "Siapakah yang sanggup keluar meninjau keadaan musuh dan kembali semula ke sini nescaya kupohon pada Allah supaya jadikannya temanku di dalam Syurga kelak?"

Walaupun baginda telah menjanjikan syarat pulang kembali dan bersahabat dengannya di dalam Syurga, namun tiada seorangpun yang sanggup untuk menyahut seruan itu. Lalu baginda menyebut nama Huzaifah, dan berkata Huzaifah, "Aku tidak dapat mengelak lagi dan tampil berdiri sebaik sahaja baginda memanggilku." Situasi seperti ini tentu tidak akan berlaku melainkan dalam keadaan yang paling cemas.

Namun, walaupun mereka berada dalam ketakutan yang sedemikian, mereka masih tetap dalam hubungan dengan Allah yang tidak pernah putus, kefahaman mereka terhadap Sunnatullah tidak pernah menyimpang dan keyakinan mereka terhadap keteguhan Sunnatullah tidak pernah bergoyang. Mereka yakin bahawa titik akhir Sunnatullah pasti akan terlaksana apabila titk awalnya telah bermula. Oleh sebab itu, mereka jadikan saat kecemasan yang mereka lalui itu sebagai landasan untuk menunggu pertolongan daripada Allah SWT. Hal ini kerana mereka yakin dengan firman Allah SWT sebelum ini,

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan memasuki syurga sedangkan kamu belum menerima dugaan sepertimana orang-orang mukmin yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa malapetaka dan kesusahan dan mereka telah digoncangkan dengan kesusahan sehingga Rasulullah s.a.w dan orang-orang mukmin yang ada bersamanya pernah bersungut bilakah tibanya pertolongan Allah? (Lalu dijawab): Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat."

Al-Baqarah:214

Kini mereka sedang digoncang oleh ketakutan itu dan kerana itu pertolongan Allah amat dekat kepada mereka. Justeru, mereka berkata,

".....mereka berkata; "Inilah apa yang dijanjikan oleh Allah dan RasulNya kepada kita." Dan benarlah Allah dan RasulNya, dan pemandangan itu tidak menambah kepada mereka melainkan keimanan dan penyerahan diri (kepada Allah)."
Al-Ahzab:22

Mereka adalah manusia belaka, mereka tidak dapat membersihkan diri daripada kelemahan-kelemahan dan perasaan-perasaan manusia. Mereka tidak dapat keluar daripada lingkungan seorang manusia sehingga hilang segala sifat dan ciri mereka sebagai manusia. Oleh sebab itulah Allah jadikan mereka sedemikian rupa supaya mereka tetap dengan ciri seadanya dan tidak berubah menjadi malaikat; tidak pula kepada syaitan, jin dan sebagainya. Jadi sebagai sebagai manusia mereka mempunyai kelemahan dan hati mereka tetap akan merasa gundah bilamana ditimpa kesusahan.Hati mereka tetap akan bergoncang bilamana menghadapi dugaan/bahaya yang melewati keupayaan mereka.

Namun demikian, hati mereka tetap tertambat dengan tali hubungan yang kukuh kepada Allah. Tali inilah yang menghalang mereka daripada gugur, tali inilah yang memperbaharui harapan mereka dan mengawal mereka daripada rasa putus asa. Oleh hal yang demikian mereka menjadi contoh yang unik dan tiada tolok bandingnya dalam sejarah manusia.

Apa yang kita perlu fahami sekarang ialah mereka adalah tetap sebagai makhluk yang bernama manusia sama seperti kita, tetapi keistimewaan mereka adalah mereka berjaya mendaki setinggi-tinggi kemuncak yang disediakan oleh Allah kepada manusia, dengan sifat-sifat makhluk manusia. Dengan kata lain, mereka telah memperlihatkan kebolehan mereka memelihara ciri-ciri manusia di bumi dan berpegang kukuh dengan tali perhubungan dengan langit (Allah)...

wassalam..,

Pilihanraya kampus upm, hanya ‘cukup syarat’ sahaja.


29 Jan- Hari ini genaplah empat hari tamatnya pilihan raya kampus di Universiti Putra Malaysia (UPM), keputusan tak rasmi menunjukkan Pro-M kalah teruk kepada Aspirasi Pro-BHEP. Semenjak itu, sehingga ke hari ini, keadaan UPM terus sunyi dan suasana pembelajaran ‘pelajar’ berterusan seperti biasa. Namun di celah-celah kesunyian itu, ada satu suara kerdil sekumpulan mahasiswa yang cuba memecah suasana dengan meminta supaya pilihan raya diadakan semula, tak lain tak bukan suara itu adalah daripada Pro-Mahasiswa.
Secara peribadinya, saya memandang bahawa pilihan raya kampus UPM masih lagi kolot dan tak berubah bahkan menjadi semakin teruk dari tahun ke tahun sejak 2003 yang lalu. Pertama, pilihanraya seperti pemilihan ketua darjah malah mungkin lebih teruk. Kenapa saya katakan demikian? Pembaca yang budiman, pemilihan ketua darjah dilakukan tanpa ada peraturan yang benar-benar khusus, kalau adapun hanyalah satu atau beberapa perkara yang ditetapkan oleh guru kelas terbabit sahaja. Apa yang berlaku di UPM sebenarnya lebih teruk dari apa yang berlaku di dalam sebuah kelas, sekurang-kurang guru kelas akan memastikan supaya setiap murid dalam kelas terbabit mengenali sedikit sebanyak mengenai diri calon-calon ketua kelas, supaya murid-murid mengetahui siapakah orangnya yang bakal memimpin mereka. Di UPM, mahasiswa bukan sahaja tidak mengenali calon mpp yang bakal memimpin mereka, bahkan lebih teruk lagi, mahasiswa tidak merasai langsung suasana PRK pada kali ini.
Sebagai contoh, mengikut Aturan Kempen Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia sesi 2009/2010, calon hanya dibenar berkempen selama kurang daripada satu hari sahaja. Secara peribadi, penulis memandang perkara ini adalah tidak masuk akal. Kalau benar PRK adalah suatu medan untuk mahasiswa memillih pemimpin mereka yang akan berkhidmat sepanjang sesi tersebut, seharusnya mahasiswa berhak untuk mengenali batang tubuh bakal pemimpin mereka. Oleh itu, masa selama satu hari adalah tidak relevan dan tidak mencukupi bagi mahasiswa untuk mengenali dan memilih calon pilihan mereka…

Nama Allah dalam The Herald, di mana kita?

Keputusan Hakim Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang mengisytiharkan nama "Allah" boleh digunakan oleh agama lain mengundang pelbagai polemik sehingga kepada desakan campurtangan Majlis Raja-Raja. Beberapa NGO termasuk tokoh Pemuda UMNO cuba menjadi hero dengan mengecam hebat keputusan tersebut sehingga menyindir parti-parti politik berasaskan agama yang mengambil langkah berdiam diri ketika ini.

Isu ini sebenarnya harus dilihat secara rasional, tanpa prejudis dan paling utama berdasarkan hujah dan dalil yang sahih serta Qath'ie. Keputusan Mahkamah tersebut harus dinilai berdasarkan persoalan berikut:

Pertama: Apakah skop penggunaan nama Allah dalam THE HERALD? Sekiranya nama Allah dalam artikel mingguan tersebut digunakan bagi tujuan menunjukkan bahawa ia merujuk kepada Tuhan sebenar manusia seluruh alam, maka kita perlu menerimanya. Ia merupakan suatu pengiktirafan terhadap kewujudan ALlah SWT. Bukankah Allah adalah Tuhan yang menurunkan Rahmat Seluruh Alam? Ia menambahkuatkan lagi bahawa bukan Islam telah memahami Islam dan Tuhan orang Islam.

Kedua: Sekiranya ia merujuk hanya kepada Allah hanya Tuhan bagi agama mereka disamping kewujudan konsep "Trinity" di dalam THE HERALD dan ia disebar luaskan, maka ia telah termasuk dalam kesalahan penghinaan agama lain dimana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perkara 11(4) yang memberikan kuasa kepada negeri-negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan penyebaran dakyah agama lain.
Dua persoalan ini sudah cukup untuk membuat analisa ringkas tentang keputusan Mahkamah tersebut. Pada hemat saya, umat Islam negara ini perlu dipandu secara jujur dan ikhlas bahawa selagi Allah tidak dihina dan Islam dipijak, maka ruang lingkup perbahasan ilmiah perlu dibuka. Bagi aktivis yang bermatian-matian "memperjuangkan" isu ini di dalam peti televisyen, saya menjemput anda semua melihat beberapa tragedi-tragedi Islam diputuskan di Mahkamah negara ini.

Kes Pertama: Kes Minister for Home Affairs & Anor v Jamaluddin bin Othman [1989] 1 MLJ 368 & 418, melibatkan tindakan Jamaluddin menyebarkan dakyah Kristian yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Mahkamah kemudiannya memutuskan tindakan tersebut (menyebarkan dakyah) tidak memadai untuk mendatangkan ancaman bagi ditahan dibawah ISA. Jamaluddin dibebaskan.

Kes Kedua: Hajah Halimatussaadiah bt Hj Kamaruddin V Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia & Anor 3 MLJ 61, seorang kakitangan kerajaan yang dibuang kerja kerana memakai Purdah. Mahkamah memutuskan bahawa pembuangan kerana memakai purdah adalah betul. Harus diingat, Hajah Halimatussaadiah dibelia oleh peguam Karpal Singh.

Kes Ketiga: Mior Atiqurrahman & Ors v Fatimah Sihi & Ors. 3 orang pelajar sekolah kena buang sebab pakai serban. Mahkamah Persekutuan memutuskan pembuangan pelajar tersebut adalah betul.

Kes Keempat: Che Omar Bin Che Soh [1988] 2 MLJ 55, Mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan, memutuskan bahawa Malaysia bukan negara Islam.

Ini adalah antara kes-kes yang amat memeritkan umat Islam, belum lagi dikira kes-kes Murtad yang berleluasa diputuskan dengan mudah oleh Mahkamah. Soalnya dimana UMNO dan NGO "cabuk" perkakas UMNO ini? Adakah keputusan-keputusan Mahkamah ini baik dan harus diterima? Isu yang "substance" ini lebih utama dari hanya membicarakan penggunaan kalimah Allah dalam akhbar agama Kristian ini. Adakah mereka mendesak Majlis Raja-Raja campurtangan, disaat aktivis agama, peguam-peguam dan pendokong serta pencinta Islam bertempiaran dikejar dan dihamburkan air berasid hadiah FRU?

Saya melihat isu kalimah Allah ini adalah rahmat kepada umat Islam keseluruhannya, kerana masyarakat ingin melihat lebih jauh dari itu. Maka di hadapan kita sebenarnya terbentang pelbagai "juadah" jijik yang telah disajikan kepada Islam di Mahkamah negara kita..Justeru, dimana kita? -peguamkita.blogspot.com