Coretan Al-Ahzab....

Assalamu'alaikum wbt..

firman Allah dalam surah al-ahzab, 11,
"disitulah diuji orang-orang mukmin dan digoncangkan (hatinya) dengan goncangan yang dahsyat."

Ayat ini menjelaskan kepada kita keadaan orang-orang mukmin yang sangat tergugat ketika peristiwa perang ahzab. Sesungguhnya kemelut yang menimpa mereka pada ketika itu amatlah dahsyat sehingga benar-benar menggoncangkan hati masing-masing sebagaimana digambarkan Allah dalam ayat di atas. Sesungguhnya tenaga seorang manusia dari dulu, kini dan selamanya tetap terbatas sebagai seorang hamba, dan Allah tidak akan mentaklifkan lebih daripada keupayaannya.

Walaupun para mukmin yakin mereka akan mendapatkan kemenangan, walaupun rasulullah telah menyampaikan berita gembira kepada mereka ketika sebelum perang berlangsung tentang kemenangan Islam di Yaman, Syam, penaklukan Kota Konstantinople dan lain-lain, namun kegawatan situasi Ahzab sememangnya mencemaskan dan menyebakkan pernafasan mereka.

Di antara cerita yang lebih menggambarkan keadaan ini adalah cerita berkaitan dengan Huzaifah. Rasulullah s.a.w memang menyedari keadaan sahabat-sahabatnya kerana baginda melihat mereka dari dalam jiwa mereka sendiri. Oleh itu, baginda bersabda, "Siapakah yang sanggup keluar meninjau keadaan musuh dan kembali semula ke sini nescaya kupohon pada Allah supaya jadikannya temanku di dalam Syurga kelak?"

Walaupun baginda telah menjanjikan syarat pulang kembali dan bersahabat dengannya di dalam Syurga, namun tiada seorangpun yang sanggup untuk menyahut seruan itu. Lalu baginda menyebut nama Huzaifah, dan berkata Huzaifah, "Aku tidak dapat mengelak lagi dan tampil berdiri sebaik sahaja baginda memanggilku." Situasi seperti ini tentu tidak akan berlaku melainkan dalam keadaan yang paling cemas.

Namun, walaupun mereka berada dalam ketakutan yang sedemikian, mereka masih tetap dalam hubungan dengan Allah yang tidak pernah putus, kefahaman mereka terhadap Sunnatullah tidak pernah menyimpang dan keyakinan mereka terhadap keteguhan Sunnatullah tidak pernah bergoyang. Mereka yakin bahawa titik akhir Sunnatullah pasti akan terlaksana apabila titk awalnya telah bermula. Oleh sebab itu, mereka jadikan saat kecemasan yang mereka lalui itu sebagai landasan untuk menunggu pertolongan daripada Allah SWT. Hal ini kerana mereka yakin dengan firman Allah SWT sebelum ini,

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan memasuki syurga sedangkan kamu belum menerima dugaan sepertimana orang-orang mukmin yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa malapetaka dan kesusahan dan mereka telah digoncangkan dengan kesusahan sehingga Rasulullah s.a.w dan orang-orang mukmin yang ada bersamanya pernah bersungut bilakah tibanya pertolongan Allah? (Lalu dijawab): Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat."

Al-Baqarah:214

Kini mereka sedang digoncang oleh ketakutan itu dan kerana itu pertolongan Allah amat dekat kepada mereka. Justeru, mereka berkata,

".....mereka berkata; "Inilah apa yang dijanjikan oleh Allah dan RasulNya kepada kita." Dan benarlah Allah dan RasulNya, dan pemandangan itu tidak menambah kepada mereka melainkan keimanan dan penyerahan diri (kepada Allah)."
Al-Ahzab:22

Mereka adalah manusia belaka, mereka tidak dapat membersihkan diri daripada kelemahan-kelemahan dan perasaan-perasaan manusia. Mereka tidak dapat keluar daripada lingkungan seorang manusia sehingga hilang segala sifat dan ciri mereka sebagai manusia. Oleh sebab itulah Allah jadikan mereka sedemikian rupa supaya mereka tetap dengan ciri seadanya dan tidak berubah menjadi malaikat; tidak pula kepada syaitan, jin dan sebagainya. Jadi sebagai sebagai manusia mereka mempunyai kelemahan dan hati mereka tetap akan merasa gundah bilamana ditimpa kesusahan.Hati mereka tetap akan bergoncang bilamana menghadapi dugaan/bahaya yang melewati keupayaan mereka.

Namun demikian, hati mereka tetap tertambat dengan tali hubungan yang kukuh kepada Allah. Tali inilah yang menghalang mereka daripada gugur, tali inilah yang memperbaharui harapan mereka dan mengawal mereka daripada rasa putus asa. Oleh hal yang demikian mereka menjadi contoh yang unik dan tiada tolok bandingnya dalam sejarah manusia.

Apa yang kita perlu fahami sekarang ialah mereka adalah tetap sebagai makhluk yang bernama manusia sama seperti kita, tetapi keistimewaan mereka adalah mereka berjaya mendaki setinggi-tinggi kemuncak yang disediakan oleh Allah kepada manusia, dengan sifat-sifat makhluk manusia. Dengan kata lain, mereka telah memperlihatkan kebolehan mereka memelihara ciri-ciri manusia di bumi dan berpegang kukuh dengan tali perhubungan dengan langit (Allah)...

wassalam..,

0 comments:

Post a Comment