Senario kini harus ditinggalkan

Aku termenung memikirkan keadaan rakan-rakan disini, entah mengapa keadaan demikian masih lagi wujud. Sudah sekian lama ia terpahat, menyebabkan orang kebanyakan tidak menyedari keberadaannya yang tiada menguntungkan malah merugikan. Mengapa? Mengapa? Mengapa? Sungguh aku tak mengerti. Aku sangat membenci akan senario itu, kerana ia seolah-olah ‘membunuh’ rakan dan teman sekelilingku. Masih kuteringat akan satu tulisan Dr Ramadhan Al-Buti dalam sebuah buku, faktor utama yang menyebabkan kerosakan remaja dalam sesebuah masyarakat adalah masyarakat itu sendiri dan lingkungan tempat remaja membesar yang langsung tidak membina malah merosakkan lagi pembentukan diri anak muda…

Mengapa disini aku tekankan kepada anak muda atau remaja atau yang lebih tepat lagi kita katakan adalah generasi muda dalam sesebuah masyarakat, dalam konteks yang lebih besar adalah Negara? Jawapannya ialah generasi muda adalah generasi yang dikurniakan dengan kesempatan keemasan yang tiada pada yang lain. Tak lain dan tak bukan usia muda seseorang anak muda adalah yang dipenuhi dengan semangat yang kuat, idea yang menggugat, cita-cita yang besar lagi tinggi serta pemikiran yang luas. Justeru nabi s.a.w sendiri telah mengingatkan generasi pemuda bahawa mereka mempunyai tanggung jawab dan nilai tersendiri melalui sabdanya;

“Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara: usia mudamua sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, harta kekayaan sebelum papa, hidupmu sebelum mati dan masa kosong sebelum sibukmu.”

Hmmh…. Aduhai diriku.. apa yang harus kubuat? Persoalan itu terus menerus menerkam benak pemikiran kerdil ini. Ketahuilah bahawa manusia secara tabiatnya, mempunyai masa terhad dalam tempoh panjang atau pendek usianya, untuk mampu memberikan sesuatu kepada yang lain. Kemudian ia akan surut dan mundur kebelakang menyahut sahutan fitrah semulajadi. Benarlah firmanNya di dalam Al-Quranul Karim yang bermaksud;

“Dan masa (kejadian dan kehancuran) itu, kami pergilirkan antara manusia” (3:140)

Dan benarlah sabda rasulullah;

“Sesungguhnya setiap amalan itu puncak kesungguhannya, dan setiap puncak kesungguhan itu ada surutnya. Maka sesiapa yang surutnya adalah pada sunnahku, maka dia telah mendapat petunjuk, dan sesiapa yang surutnya kepada yang lain, bererti telah binasalah dirinya”

Inilah rakan-rakanku, penekanan kepada generasi muda supaya mendapatkan faedah daripada usia mereka, dalam kerangka untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang lebih besar kepada diri, keluarga, masyarakat dan Negara. Masa muda ini hanya sekali, bukan untuk diisi dengan hiburan semata-mata, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana kitalah yang bakal mencorakkan bumi Malaysia tercinta ini pada suatu masa nanti…. Bersambung..

0 comments:

Post a Comment